fbpx

Tips Ambil Gambar Konvokesyen Bajet – 7 Cara Photoshoot

Hari konvokesyen adalah hari istimewa untuk semua pelajar. Mereka telah bersusah payah menghabiskan bertahun-tahun pengajian. Ia adalah hari untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian mereka bersama keluarga dan rakan-rakan. Pensyarah dan fasilitator berkongsi mesej inspirasi untuk memotivasi dan menggalakkan mereka sebelum mereka memulakan perjalanan baharu mereka. Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan acara-acara yang meriah, ucapan dan penghargaan terhadap pencapaian terbaik antara para graduan. Majlis konvokesyen adalah satu hari kesyukuran dan kebanggaan pelajar. Tatkala mereka mengambil segulung skrol diploma atau ijazah, ianya langkah awal ke alam dewasa sepenuhnya. Ianya suatu majlis yang perlu diingati dan dihargai bilamana ibu bapa kegirangan menyambut penamatan pengajian anak-anak tersayang. Tidak lengkap tanpa foto kenangan, tapi student selalunya perlukan gambar konvo bajet, bukan?

Apabila tibanya hari konvokesyen, anda pastinya ingin mempunyai gambar yang menarik untuk di-upload ke Facebook, atau Instagram serta untuk ditatap kembali. Tidak kira sama ada anda sendiri yang graduate atau anda hanya menghadiri majlis konvokesyen untuk meraikan orang tersayang, anda perlu memastikan bahawa hari istimewa ini boleh diingati untuk tahun-tahun akan datang. Dengan teknologi semasa, anda bernasib baik kerana anda tidak memerlukan kamera yang mahal atau jurugambar profesional untuk merakam kenangan yang indah sekiranya anda ada skill yang diperlukan. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi beberapa tips untuk mengambil gambar konvokesyen yang cantik dan mesra bajet. Kita akan terokai perkara-perkara yang perlu anda tahu.

Mengambil gambar konvo bajet boleh menjadi sukar, jika tidak tahu caranya!

Mengambil gambar konvokesyen yang menakjubkan dengan bajet yang kecil mungkin sukar, tetapi tetap ada alternatifnya. Dengan perancangan yang bijak, anda boleh memastikan gambar konvokesyen anda kelihatan cantik tanpa kehabisan wang. Gunakan sahaja kamera smartphone anda. Pada hari ini, smartphone sudah semakin canggih dan kualiti yang dihasilkan pun setara dengan kualiti kamera. Anda tidak perlu berbelanja untuk membeli kamera lagi. Namun begitu, jika anda sudah memiliki DSLR, anda akan lebih dapat mengawal sendiri hasil foto yang diinginkan. Pastinya foto DSLR adalah lebih berkualiti berbanding smartphone asas. Anda boleh pertimbangkan untuk menyewa DSLR yang lebih menjimatkan berbanding membelinya.

Gunakan cahaya matahari untuk pencahayaan yang baik

Cahaya matahari semula jadi adalah kunci untuk mengambil gambar konvokesyen yang cantik. Pencahayaan yang lembut dan kurang keras boleh membantu menonjolkan warna dalam foto anda. Elakkan mengambil gambar di bawah panas terik matahari. Manfaatkan cahaya matahari untuk mendapatkan pencahayaan penuh pada subjek anda, atau juga untuk gambar-gambar yang bertemakan bayang. Walau bagaimanapun, pastikan gambar anda tidak ter-overexpose akibat pencahayaan yang terlalu kuat. Anda boleh menukar setting kamera anda secara auto atau manual, bergantung yang mana memberikan hasil gammbar yang lebih baik.

Manfaatkan props sedia ada

Props boleh menambahkan elemen visual menarik dalam gambar anda. Untuk hari konvokesyen, prop wajib sudah tentunya jubah konvo dan juga skrol, Anda tidak perlu keluarkan kos tambahan pun. Topi konvo sahaja sudah boleh diperagakan dengan pelbagai gaya samada dipakai di kepala, dipegang mahupun dilontarkan ke udara. Lebih kreatif anda mencari angle dan tema, lebih terserlah artistik di dalam gambar anda. Untuk mempelbagaikan tema, anda boleh menggunakan props lain seperti buku, beg, atau apa-apa elemen di universiti untuk dikaitkan dengan perjalanan pengajian bertahun-tahun di sana.

Tinjau lokasi photoshoot berdekatan dan rancang penggambaran anda

Gambar konvokesyen outdoor yang menarik tidak perlu diambil di lokasi yang jauh. Sekitar perkarangan universiti atau tasik-tasik berdekatan sudah memadai. Sekiranya anda sudah ada lokasi pilihan, pastikan anda luangkan sedikit masa untuk tinjau dahulu kawasan tersebut sebelum hari kejadian. Ini untuk pastikan supaya anda boleh kenalpasti dari awal lagi spot-spot dan angle yang cantik untuk shoot. Jadi, anda tidak akan tercari-cari lagi untuk cuba satu per satu semasa hari penggambaran sebenar. Anda boleh juga cuba mencari gambar-gambar lain yang pernah diambil di lokasi tersebut untuk mendapatkan idea tambahan. Dengan ini, anda akan memanfaatkan masa anda sepenuhnya.

Gunakan tripod atau selfie stick

Jika anda mengambil sendiri gambar konvokesyen, anda harus pertimbangkan untuk mendapatkan tripod atau kayu selfie. Tripod boleh digunakan untuk mengambil foto yang stabil dan jelas, dan anda boleh mengawal kamera atau handphone dari jauh menggunakan remote. Ini membolehkan anda mendapatkan gambar dari sudut dan perspektif yang pelbagai. Selfie stick juga boleh digunakan untuk mengambil gambar yang mantap dan jelas, terutamanya untuk gambar berkumpulan. Mungkin bukan lagi suatu trend pada masa kini, tetapi selfie stick masih tetap berguna! Selfie stick boleh menambah jarak antara anda dan kamera untuk memastikan semua orang muat berada dalam gambar.

Angle dan sudut yang kreatif penting untuk gambar konvo bajet

Apabila mengambil gambar konvokesyen bajet, anda tidak perlu terhad kepada sudut dan pose yang membosankan yang sama seperti orang lain. Fikir di luar kotak dan cuba gunakan angle yang kreatif untuk gambar anda. Ianya boleh samada dari tempat tinggi atau rendah, dan cuba juga ambil gambar dari sisi yang berbeza dari kebiasaan. Jika anda mengambil gambar outdoor, jangan takut untuk memanjat sesuatu untuk mendapatkan perspektif yang unik. Nak gambar cantik memang perlu usaha lebih. Selain itu, anda boleh cuba mengambil gambar dari sudut belakang subjek untuk dapatkan vibe misteri. Dengan angle yang kreatif, anda boleh menukar subjek yang biasa menjadi lebih menarik. Gambar yang anda hasilkan nanti tentunya lebih menyeronokkan dan unik.

Jangan lupa ambil gambar keluarga dan rakan!

Tatkala anda fokus mengambil gambar untuk dijadikan profile picture Facebook yang baru, jangan lupa untuk mengambil gambar keluarga dan rakan anda juga. Mereka pun turut meraikan kegembiraan anda bersama-bersama! Jadi pastikan gambar mereka pun ada dalam galeri gambar anda. Seperti yang dikatakan tadi, anda tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli kamera atau peralatan mewah. Handphone anda pun sudah berfungsi dengan baik untuk mendapatkan gambar yang cantik. Boleh minta bantuan rakan dan keluarga anda mengambilkan gambar anda, dan anda pun tolong ambilkan gambar mereka juga. Satu idea photoshoot wajib ialah untuk mengambil gambar keluarga dan rakan anda sambil memegang skrol diploma atau ijazah. Gambar anda bersama rakan-rakan adalah kewajiban. Mereka semua pasti akan semakin sibuk setelah mula bekerja dan anda semua tidak akan lagi berpeluang untuk bergambar sedemikian. Foto ini pasti akan anda kenang seumur hidup!

Gunakan software untuk penyuntingan

Dalam bidang fotografi, antara perkara terakhir dan penting perlu dititikberatkan adalah proses meng-edit gambar. Selepas anda mengambil gambar konvokesyen bajet tadi, anda boleh mengubahnya untuk kelihatan lebih baik dengan software editing. Terdapat banyak pilihan aplikasi percuma yang anda boleh dapatkan seperti Adobe Photoshop Express & Snapseed, serta aplikasi berbayar seperti Adobe Lightroom. Anda boleh tentukan samada editing tersebut hendak dilakukan menggunakan handphone sahaja ataupun komputer. Dengan aplikasi tersebut, anda boleh mengubah komposisi gambar, warna dan pencahayaan supaya ia kelihatan lebih baik. Cara khusus untuk menggunakan aplikasi tersebut akan kami kongsikan dalam artikel yang berlainan. Selain itu, anda boleh meletakkan filter, mengubah tona warna, serta menambah teks dan kesan lain.

Selamat Bergraduasi!

Mengambil gambar konvokesyen tanpa mengeluarkan bajet tidaklah sukar. Anda boleh jadikan langkah-langkah yang dikongsikan dalam artikel ini sebagai panduan. Dengan sedikit kreativiti dan usaha, anda boleh merakamkan momen indah semasa konvokesyen tanpa mengeluarkan wang. Sekiranya mampu, anda boleh melabur untuk kamera yang bagus bagi hasil gambar yang lebih sempurna. Semoga anda akan dapat merakamkan beberapa gambar konvokesyen yang menakjubkan untuk dikongsikan.

Leave a Comment